Sunday, April 3, 2011

ANJAKAN PARADIGMA DAN TRANSFORMASI - PPF

Kepada semua PPF Malaysia,

Sudah sampai masanya untuk kita mengatur langkah untuk melonjak ke satu paradigma baru dalam pembangunan profesion Penolong Pegawai Farmasi yang kita sayangi.

Perjuangan yang retorik oleh organisasi mewakili profesion ini sudah dimakan zaman. Tidak lagi sesuai untuk zaman sekarang yang penuh dengan teknologi tinggi dan tahap penyampaian kesihatan yang dinamik, sentiasa bergerak pantas dan desakan yang tinggi terhadap kualiti. Kita masih lagi dengan usaha-usaha lama dengan permohonan untuk kelulusan uniform, elaun-elaun, dan mengekori semua apa yang diperolehi oleh lain-lain paramedik anak emas kementerian.

Kita harus bersedia untuk berubah (ready for change). Ujudkan satu identiti baru yang kukuh dengan menjadikan profesion ini satu aset yang penting kepada perkhidmatan farmasi dan kementerian. Jangan sekali-kali hanya mengharapkan nasib dari usaha lain-lain paramedik sahaja. Bagaimana?
Inilah pertanyaan yang akan timbul dari kita semua...

Masalah kita yang paling besar ialah sokongan dari bahagian perkhidmatan farmasi sendiri. Sekiranya kita mendapat sokongan baik, profesion ini boleh meneruskan satu agenda baru dan 'transform' kepada tahap baru dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan bidang farmasi.

Wahai PPF sekelian, untuk meletakkan kita dalam peta seangkatan dengan lain-lain paramedik dan mengelakkan dari profesion ini pupus satu hari kelak dengan pembanjiran pegawai-pegawai farmasi di segenap sudut institusi kesihatan, semua PPF harus bersedia untuk belajar dan belajar. Tanamkan ilmu dalam aspek farmakologi, klinikal, QAP, inovasi, libatkan diri dalam pembangunan, sentiasa berfikiran positif, berkhidmat dengan kualiti dan yang paling penting melibatkan diri dalam kajian atau jalankan satu kajian dalam kumpulan setiap 1 atau 2 tahun sekali.

Dengan penglibatan dalam Health System Research, akan menaikkan martabat profesion ini ke tahap baru dalam sistem perkhidmatan kementerian kesihatan dan barulah profesion ini akan dipandang tinggi oleh ketua-ketua perkhidmatan di setiap PTJ. Buat masa sekarang kebanyakan aktiviti Inovasi, QAP, KMK dan lain-lain dijalankan oleh Jururawat, PPKP PPP, Jurupulih Anggota dll. Memang ada juga PPF yang jalankan aktiviti ini tetapi sangat sedikit.

Selain ini saya berpendapat satu perubahan besar perlu di lakukan kepada keseluruhan organisasi perkhidmatan farmasi untuk profesion kita dengan mengujudkan dua jawatan sokongan baru iaitu Pembantu Farmasi U3 (sama taraf seperti PPK U3) yang mana adalah sama dengan negara Ireland yang mempunyai Pharmacy Aides. Tugas mereka adalah seperti PPK dalam unit farmasi tetapi dengan kursus khas berkhaitan ubat yang basik sahaja selama 6 bulan.

Satu lagi jawatan yang perlu di ujudkan ialah Pharmacy Technologist U41 (Teknologis Farmasi) yang berkelulusan Ijazah teknologis Farmasi atau Ijazah Sains farmaseutikal (sama seperti di USA).
Dengan ini profesion kita tidak perlu di jadikan kumpulan bersepadu. Yang mempunyai diploma menjadi PPF, Ijazah menjadi Teknologis Farmasi, dan yang ada degree in Pharmacy menjadi Pharmacist.

Kewujudan Teknologis Farmasi yang memiliki kepakaran teknikal (TPN, CDR, TDM, Logistik Management) boleh meningkatkan kualiti perkhidmatan Jabatan Farmasi kerana para Pegawai Farmasi dapat menumpukan perhatian penuh kepada tugas klinikal kepada pesakit dan berganding bahu dengan doktor untuk membantu pesakit-pesakit dalam rawatan harian.

Ia terpulang kepada nama yang hendak diberikan untuk Teknologis Farmasi U41 samada Pegawai Teknikal Farmasi U41 atau Teknologis Farmasi U41. Dalam tahap ini sebagai sokongan kita kepada para Pegawai Farmasi, profesion mereka juga harus di naikkan kepada UF41 (sebagaimana para doktor naik kepada UD41) dan gred mula gaji juga harus dinaikkan supaya jawatan gred profesional mereka terpelihara juga. Mereka juga harus di naikkan taraf kepada "Clinical Specialist Pharmacist" dalam bidang-bidang yang berkaitan samada Onkologi Specialist, Cardiology Specialist dan sebagainya. (seperti di UK)

Dengan erti kata lain perkhidmatan farmasi akan mempunyai 4 jawatan utama iaitu Pegawai Farmasi UF41-Jusa A, Teknologis Farmasi U41-U54, Pen.Pegawai Farmasi U29-U40, Pembantu Farmasi U3-U14.

Sebagai expanded role untuk PPF, tugas-tugas di stor harus di berikan kepada kita dalam hal-hal perolehan ubat-ubatan dan Pen.Pegawai Tadbir (Stor) serta Pem.Tadbir hanya mengendalikan Non-Drug sahaja. Ketua unit di pejabat stor harus di serahkan kepada Teknologis Farmasi U41 yang mahir dalam hal-hal logistik kerana dalam ijazah mereka subjek logistik management adalah salah satu subjek penting. (lesen pemborong boleh di berikan kepada Ketua di unit stor ini atau sebaliknya mengikut undang-undang.

Dengan kaedah ini skop perkhidmatan Pen.Pegawai Farmasi boleh di kembangkan dan di hargai serta di hormati oleh semua pihak. Secara tak langsung ini juga akan menaikkan moral semua PPF amnya kerana peluang untuk naik ke gred U41 akan terbuka luas melalui pembelajaran ke Ijazah Sains Farmaseutikal dan Ijazah Teknologis Farmasi. (kursus ini ada di jalankan di UK dan USA).

* Artikel ini hanyalah satu nukilan serta sambungan "mimpi indah" yang direka oleh saya untuk tatapan semua semoga mendapat petunjuk yang positif untuk masa depan kita bersama. Sekian.

Ganesan G.Narayanan
Klinik Kesihatan Taiping