Sunday, June 19, 2011

UCAPAN DASAR YDP - AGM PPFM 2011

MESYUARAT AGUNG DWI TAHUNAN PERSATUAN PENOLONG PEGAWAI FARMASI

DI HOTEL THE KATERINA, BATU PAHAT JOHOR PADA 17-18 JUN 2011

DISAMPAIKAN OLEH, GANESAN G.NARAYANAN, NYDP PPFM.


Terima kasih Saudara / Saudari Pengerusi Majlis

SALAM SEJAHTERA, SELAMAT PETANG DAN SALAM SATU MALAYSIA,

· Yang Berbahagia Dr.Salmah bt Bahri, Pengarah Amalan & Perkembangan BPF KKM mewakili Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Malaysia

· Yang Berusaha Puan Rosidah bt Md.Din, Timb.Pengarah Kesihatan Negeri (F) Bhg Perkhidmatan Farmasi Negeri Johor

· Yang Berusaha Puan Siti Hanidah bt Maksom, Ketua Pegawai Farmasi, Perkh.Farmasi, Pejabat Kesihatan Bt.Pahat

· Yang Berusaha En.Zaini b Tahir, Ketua Peg.Farmasi, Jabatan Farmasi Hospital Batu Pahat

· Yang DiHormati, En.Muhammad b Awang, Ketua Profesion Penolong Pegawai Farmasi Malaysia

· Yang Dihormati rakan seperjuangan Presiden dan Exco Kebangsaan Pembantu Farmasi Kerajaan Malaysia Barat.

· Yang DiHormati, Pengerusi JK Penganjur , Pn.Samidah bt Rahmat

· Ahli-Ahli Majlis Tertinggi Kebangsaan, ahli-ahli, para Pen.Pegawai Farmasi Malaysia dan para hadirin dan hadirat yang saya hormati sekelian

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian,

1. Terlebih dahulu marilah kita panjatkan kesyukuran kepada tuhan yang maha esa di atas limpah kurnianya sehingga membolehkan kita dapat bersama-sama pada petang yang mulia ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk menyampaikan salam daripada YDP En.Lee Kim Huat kepada Yg Bhg Dr.Salmah, Dif2 jemputan dan semua para hadirin sekelian serta memohon maaf bagi pihak beliau di atas keuzuran beliau menghadiri majlis ini. Saya selaku NYDP mewakili Persatuan Penolong Pegawai Farmasi ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yg Berbahagia Dr.Salmah di atas kesudian beliau hadir dan merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan PPFM bagi tahun 2011/2013. Ucapan terima kasih juga saya tujukan kepada semua dif-dif jemputan yang dimuliakan di atas kesudian melapangkan masa untuk ke Majlis ini. Tidak dilupakan juga saya ucapkan terima kasih kepada semua perwakilan dan para hadirin yang datang dari segenap sudut di Malaysia ini. Selamat datang, salam sejahtera dan salam satu Malaysia.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian,

2. Bagi pihak Persatuan, saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Puan Samidah Rahmat dan semua Ahli Jawatankuasa Penganjur di atas usaha gigih menjadikan Malam Mesra ini malam yang penuh bermakna dan juga syabas di atas usaha mengelolakan Persidangan yang bakal diadakan esok. Untuk pengetahuan Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian, Persatuan kita telah masuk tahun ke 37 umurnya sehingga hari ini. Namun masih ramai yang keliru akan peranannya serta juga peranan Kesatuan.

Bagi ahli-ahli baru ingin saya perjelaskan peranan Persatuan. Persatuan adalah komited kepada aspek profesionalsima Penolong Pegawai Farmasi, pembangunan profesional dan CPD, pendidikan, berkongsi pengetahuan, respon kepada keperluan ahli-ahli , membantu untuk profesion mencapai dan kekal dalam satu standard yang relevan dan menyokong kepada peranan atau “expanded & extended roles” Penolong Pegawai Farmasi.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian,

3. Sebagai penjawat awam kita perlulah sentiasa mengambil tahu sebarang maklumat terkini dari Kementerian dan Kerajaan Malaysia serta bersedia untuk berubah dan mengikuti perkembangan semasa dan terkini. Ekoran itu, saya amat tertarik dengan ucapan YAB Perdana Menteri dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke 11 di PICC pada 9 Mac 2010 yang lalu dan menyeru semua Penolong Pegawai Farmasi merenung kembali kepada amanat beliau dalam ucapan tersebut. Ingin saya mengupas beberapa petikan ucapan YAB Perdana Menteri yang memfokuskan kepada pembaharuan dalam sektor awam dengan menggariskan Lapan Tonggak Perdana dan dalam ucapan tersebut beliau menyebut : “mahu tidak mahu para penjawat awam mesti berfikir di luar lingkungan kotak. (Think out of the box). Saya tidak mahu budaya “automation’’ menjadi satu hakikat kehidupan dalam sektor awam. Kita seharusnya berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan mencari penyelesaian-penyelesaian kreatif dan inovatif di luar kelaziman”. Ini ditujukan kepada semua penjawat awam. YAB juga menyentuh Lapan Tonggak Perdana iaitu 4 Tonggak Utama (The Four Pillars) dan 4 Tonggak Nilai untuk kecermerlangan perkhidmatan awam dan pembangunan Negara.

4. THE FOUR PILLARS

Tiang Utama Pertama :

Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan - Tonggak pertama ini menyentuh aspek perpaduan nasional yang kita sedia maklum. Dalam gagasan ini juga diujudkan sebanyak 50 Klinik 1 Malaysia.

Tiang Utama Kedua:

Program Transformasi Kerajaan(GTP) – Ia adalah mencerminkan satu kerajaan yang lebih responsive terhadap aspirasi dan prihatin kepada denyut nadi rakyat. Seperti yang sering disebut, era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir. Jadinya, kerajaan perlu bersifat sebagai pemudahcara dan bukannya “absolute arbiter of wisdom”.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, dalam aspek ini ia mengingatkan semua penjawat awam yang mana Pen.Pegawai Farmasi juga sebagai penjawat awam, harus memenuhi minda mereka dengan ilmu yang “uptodate” dan mahir dalam komunikasi, sentiasa kreatif, inovatif serta sentiasa peka kepada perubahan, bersedia berubah dan effisien sebelum menghadapi pelanggan yang kebanyakannya “educated”.

Tiang Utama Ketiga dan Ke Empat adalah dua prakarsa penting ekonomi iaitu Model Baru Ekonomi (NEM) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10). YAB Perdana Menteri menerangkan untuk mencapai cita-cita nasional bagi menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi, memerlukan kita keluar dari perangkap atau kepompong paradigma. “Kita tidak boleh takut atau bimbang untuk melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan kerana jika kita mengambil sikap suka melewatkan apa yang perlu diubati dengan segera hanya kerana kita kuathir terhadap kesakitan yang bakal ditempuhi dek kerana rawatan tersebut, maka kita sebenarnya sedang mendedahkan diri untuk ditimpa bencana yang lebih serius.”

YAB Perdana Menteri juga mahukan lebih diberi perhatian kepada ehwal ‘’continuing education’’, ‘’skills upgrading”, “succession planning” dan ‘’career advancement’’ para penjawat awam.

Yang Bhg Dr, Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian,

5. Pihak Persatuan sentiasa menerima berbagai-bagai pertanyaan dan desakan dari para ahli iaitu Penolong Pegawai Farmasi yang sentiasa dahagakan ilmu dan pembangunan karier. Saban hari pertanyaan diajukan kepada Persatuan untuk membawa masalah pembangunan pendidikan dan karier PPF. Persatuan amatlah berharap Bahagian Perkhidmatan Farmasi khasnya dan Kementerian Kesihatan Malaysia amnya akan memberi lebih ruang dan peluang kepada Penolong Pegawai Farmasi untuk memajukan diri dalam karier dan penambahan ilmu bagi memantapkan perkhidmatan penjagaan farmaseutikal sebagaimana yang disebutkan oleh YAB Perdana Menteri dalam petikan ucapan yang saya sampaikan tadi iaitu continuing education, skills upgrading dan career advancement.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian,

6. Persatuan Pen.Pegawai Farmasi amat berterima kasih kepada Bhg Perkhidmatan Farmasi KKM di atas sokongan dan kelulusan mengadakan Pos Basik pertama. Persatuan juga amat bersyukur dan mengucapkan penghargaan di atas sokongan Bhg Perkhidmatan Farmasi kerana memberi peluang dalam memperkembangankan skop perkhidmatan atau “expanded scope” dengan melibatkan para PPF dalam peranan baru iaitu Program Terapi Methadone.

Persatuan juga sangat mengharapkan PPF diberi juga peluang dalam lain-lain skop baru seperti MTAC Athma, Perkhidmatan Nasihat Ubat-Ubatan, HMR, Stor Integrasi (Bhg Ubat), Unit Penguatkuasaan dan lain-lain Unit baru yang difikirkan sesuai untuk tugas Teknikal dan bekerja dalam satu pasukan. Dengan penambahan aktiviti baru, akan juga memberikan lebih ruang kepada Pegawai Farmasi dengan memberi lebih tumpuan kepada bidang klinikal dan membantu mempertingkat tahap kesihatan pesakit. Perkara ini telah terbukti berjaya apabila satu Inovasi perkhidmatan di lakukan di USA yang memenangi Award oleh sekumpulan Ahli Farmasi dan Pharmacy Technician pada tahun 2006 di mana kumpulan ini mencipta satu inovasi. Petikan dari Medscape: “New York (MedscapeWire) Dec 13 — Five teams of pharmacists and certified pharmacy technicians were declared the winners of this year's Innovations in Pharmaceutical Care Award on December 4th at the American Society of Health-System Pharmacists (ASHP) Midyear Conference in Las Vegas, Nevada.

Winners included a team at Duke University Medical Center that reengineered pharmacy work functions to allow pharmacists more time to focus on patient care. Another winning team, from North Mississippi Medical Center - Department of Pharmacy Services, uses a certified pharmacy technician in the medication error tracking and reporting process, giving pharmacists and other health professionals more time to implement new patient care programs.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

7. Bagi meningkatkan mutu, imej dan moral Profesion, Persatuan berharap para Penolong Pegawai Farmasi di dedahkan dan dilibatkan dengan Health System Research secara menyeluruh serta sebagai sesuatu yang harus di galakkan di setiap negeri. Penglibatan PPF dalam HSR akan meningkatkan tahap dan moral profesion di samping membantu Bhg.Perkhidmatan Farmasi dalam semua aktiviti sebagai satu pasukan.

8. Sebagai “Benchmark” profesion ini, jika kita perhatikan di luar Negara contohnya United Kingdom, Pharmacy Technician mempunyai Journal sendiri dan hasil kajian mereka di terbitkan dalam majalah journal 4 kali setahun (februari, april, julai, oktober) melalui Association of Pharmacy Technician, UK (Aptuk- http://www.aptuk.org). Peranan mereka diiktiraf oleh Royal Pharmaceutical Society of Great Britain dan didaftarkan di bawah Akta Farmasi di sana seterusnya menjadikan profesion tersebut dikawal dan di “Regulate”. Keadaan yang sama juga di USA (NPTA, PTCB) dan Kanada (CAPT).

Tuan-tuan dan Puan-puan sidang hadirin sekelian,

9. Persatuan dimaklumkan PPF juga akan di daftarkan dalam masa terdekat ini dan bersyukur sekiranya ia menjadi kenyataan. Pendaftaran ini adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh semua ahli-ahli dan Penolong Pegawai Farmasi baik dalam kerajaaan atau Institusi swasta. Pendaftaran ini akan menjadikan profesion ini lebih dihormati, menaikkan imej dan moral, mudah dikawal, dan memotivasikan semua Penolong Pegawai Farmasi. Motivasi dan kepuasan dalam tugas (Motivation and Job Satisfaction) adalah amat penting sekali dalam kerja seharian. Ini disokong dalam buku Ronald L.Pardee (1990) yang menyebut “ Motivation is such an important element in improving work productivity”. Beliau juga menyebut “one major means of increasing an employee’s level of intrinsic motivation is through changing the work itself or called Job Enrichment (Herzberg, 1976) . Job enrichment is a critical element of Quality Of WorkLife (QWL). Dengan mewajibkan pendaftaran ini secara tidak langsung juga akan menaikkan imej, motivasi dan moral profesion serta mengelak dari pengambilan Penolong Pegawai Farmasi yang tidak bertauliah terutamanya di sektor swasta serta juga penggunaan gelaran jawatan yang tidak standard atau disalah gunakan oleh mereka yang tidak layak atau tidak bertauliah.

Yang Berbahagia Dr, Tuan-tuan dan Puan-puan,

10. Pendidikan adalah elemen paling penting dalam mana-mana profesion bagi melahirkan anggota yang bermutu, berkualiti dan berilmu. Justeru itu semua Penolong Pegawai Farmasi adalah di sarankan melibatkan diri dalam mana-mana peluang kursus atau memohon mendapatkan kursus contohnya Kursus Intan yang boleh dipohon melalui Online. Persatuan berharap semua PPF tidak menolak peluang sekiranya ditawarkan kerana dimasa akan datang PPF perlu memenuhi mata CPD minima 40 untuk memperolehi PTK aras 4 berpandukan kepada kriteria yang ditetapkan.

11. Dalam aspek latihan pulak, Persatuan berharap bilangan Pengajar perlu di tambah bagi melahirkan lebih ramai graduan-graduan di Institusi latihan KKM iaitu KSKB. Pihak Persatuan juga dimaklumkan sehingga kini bilangan Pengajar masih tidak mencukupi dan keadaan ini akan menjadi lebih kritikal apabila Kolej Sains Kesihatan baru yang bakal beroperasi iaitu KSKB Ulu Kinta pada tahun 2012. Pengambilan Tenaga Pengajar amatlah memerlukan kelayakan sewajarnya. Kualiti pendidikan harus di pelihara dan di kawal sebaiknya. Bagi memenuhi keperluan tenaga pengajar dalam subjek teknikal dan farmaseutik, Persatuan juga ingin mencadangkan sekiranya dapat di jalankan Top-Up Degree 2 tahun dalam bidang Pharmaceutical Science atau Pharmaceutical Technology seperti yang di jalankan di UK dan USA serta juga Teaching Methodology untuk pembangunan karier PPF. Pemilihan dan tawaran perlulah kepada mereka yang benar-benar layak dan cemerlang serta berpengalaman. Bagi memelihara kualiti Diploma Farmasi di IPTA, KSKB dan IPTS, persatuan juga bersetuju proses pengambilan pelajar, kurikulum pendidikan dan mutu pengajaran di pantau supaya negara dapat melahirkan graduan yang berkualiti dan bermutu. Bagi mata pelajaran klinikal, seharusnya Kolej mempunyai para Pensyarah yang berpengalaman luas dalam bidang teknologi farmasi serta berpengetahuan dalam Teaching Methodology. Kita tidak sama sekali mahu mana-mana Institusi pendidikan yang seolah-olah menjual Diploma kepada pelajar semata-mata inginkan perniagaan di Institusi tersebut dengan tidak menggagalkan pelajar yang lemah dan tidak kompeten. Dan bagi mereka yang benar-benar cemerlang dan layak pula, Persatuan merasakan mereka harus di beri peluang untuk sambung belajar Ijazah Farmasi dengan sekurang-kurangnya CGPA 3.5 setelah menghabiskan 3 tahun di dalam Diploma dan mereka ini tidak seharusnya diletakkan setaraf dengan pelajar Foundation, Matrik yang hanya belajar setahun tanpa pengetahuan asas dalam bidang Farmaseutikal serta pengalaman.

Mungkin bagi pelajar-pelajar Foundation/Matriks/ STPM harus diletakkan kelayakan minima CGPA 3.8 tetapi bukan pelajar lulusan Diploma Farmasi. Bagi mereka yang telah berkhidmat 5 tahun dan ke atas pengalaman harus menjadi ukuran dalam penentuan kelayakan dan pengetahuan yang diperolehi haruslah mendapat pengiktirafan. Persatuan berharap golongan ini mendapat peluang menyambung pelajaran ke Ijazah Farmasi dengan kelayakan CGPA minima 3.0. Biarlah Universiti yang menentukakan samada mereka layak mendapat Ijazah atau tidak melalui peperiksaan yang dijalankan dan jika mereka tidak kompeten, sudah tentu mereka akan di gagalkan.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian,

12. Perubahan drastik yang bakal berlaku selepas pendaftaran perkhidmatan Penolong Pegawai Farmasi, memerlukan komitmen jitu dari semua. Penolong Pegawai Farmasi haruslah bersedia untuk berubah (Ready To Change). Dunia bergerak dengan begitu pantas, begitu juga bidang farmaseutikal dan penyampaian kesihatan. Kita tidak boleh leka dan berpuashati dengan apa yang diterima sebaliknya berusaha memberi dan sentiasa proaktif serta bersikap positif. Mereka yang bersikap negative akan ketinggalan dalam arus pembangunan ini.

13. Yang Bhg Dr, Dif-dif jemputan, Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian, pihak Persatuan ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Bhg.Perkhidmatan Farmasi di atas sokongan dan keprihatinan yang di berikan dalam semua tuntutan oleh pihak Persatuan. Pewujudan Jawatankuasa Teknikal Pen.Pegawai Farmasi Malaysia adalah sebagai bukti keperhatinan dan perhatian yang diberikan oleh Dato Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi ke atas profesion ini. Untuk pengetahuan semua Penolong Pegawai Farmasi, Jawatankuasa ini telah di ujudkan pada tanggal 16 November 2009 sebagai mesyuarat yang pertama di adakan. Ahli-ahli nya adalah terdiri dari Para Pegawai Kanan Bhg.Perkhidmatan Farmasi, Exco Persatuan dan Exco Kesatuan. Tujuan di ujudkan JK ini adalah untuk membincangkan semua hal-hal berkaitan profesion, merancang latihan yang perlu dan sesuai seluruh Negara termasuk untuk PPF sektor swasta, pelaksanaan mata CPD/PTK, penetapan tanda aras korikulum Diploma dan Pos Basik mengikut keperluan semasa dan perancangan keperluan sumber manusia. Oleh yang demikian jika ada sebarang masalah dari ahli-ahli, bolehlah disalurkan melalui Persatuan atau Kesatuan berpandukan isu yang berkaitan untuk dibawa berbincang dalam mesyuarat ini.

14. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya menyeru kepada semua Penolong Pegawai Farmasi yang belum lagi menjadi ahli supaya berbuat demikian. Marilah sama-sama kita menjadi ahli Persatuan dan Kesatuan. Kekuatan organisasi ini adalah ditangan anda. Kita memerlukan ahli yang aktif dan pemimpin-pemimpin muda yang boleh mengambil alih kepimpinan sedia ada. Berapa lama lagi kita boleh mengharapkan Ahli Majlis – Ahli Majlis Tertinggi senior yang telah begitu lama menyumbangkan tenaga iaitu hampir 30 tahun. Mereka sebenarnya ingin berehat tetapi kita ketandusan kepimpinan sebenarnya. Kepada PPF baru, anda boleh lawati laman web Persatuan: ww.ppfmy.com untuk berinteraksi sesama PPF atau bersama Ahli Majlis Tertinggi dalam chatbox atau juga dalam forum.

15 Sebelum saya menamatkan ucapan ini, izinkan saya sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yg Bhg Dr.Salmah bt Bahri kerana sudi hadir bersama kita dan merasmikan majlis ini. Ucapan terima kasih juga saya tujukan kepada semua Dif-dif jemputan, para hadirin sekelian dan khasnya kepada AJK Penganjur yang bertungkus lumus bekerja menjayakan Majlis dan persidangan ini. Bagi pihak Persatuan, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor yang sudi memberi sumbangan dalam majlis malam mesra, juga kepada syarikat-syarikat farmaseutikal, wakil-wakil negeri, Ahli Majlis – Ahli Majlis Tertinggi, orang perseorangan yang sudi memberikan derma, tenaga, buah fikiran dan material bagi menjayakan majlis ini.

Akhir sekali saya bagi pihak Ahli Majlis ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas kepercayaan para perwakilan kepada kami untuk menerajui Persatuan penggal ini.

Kemaafan dipohon sekiranya terdapat kesilapan dan kelemahan sepanjang kepimpinan ahli majlis sesi 2009-2011.

“KESILAPAN ITU DARI MANUSIA, KESEMPURNAAN ADALAH DARI TUHAN “

Saya sudahi dengan dua rangkap pantun

Dari Perlis ke Batu Pahat

Singgah di Tapah Berhenti Makan

Para hadirin kelihatan Hebat

Semuga bergembira menikmati hidangan

Bunga Dedap di Atas Para

Anak Dusun Pasang Pelita

Kalau Tersilap Tutur Bicara

Jemari Disusun Maaf Dipinta

Sekian, terima kasih. Selamat malam dan selamat bersidang.

Ganesan G.Narayanan

Naib Yang DiPertua

Persatuan Penolong Pegawai Farmasi Malaysia

No comments: