MAKLUMAN DARI BHG PERKHIDMATAN FARMASI MALAYSIA
KENYATAAN AKHBAR
PEMBATALAN PENDAFTARAN DUA (2) PRODUK TRADISIONAL
Orang awam dinasihatkan untuk mengelak daripada membeli dan mengguna dua (2) produk tradisional berdaftar iaitu Kapsul Benkwat Ginseng Plus 500 mg (MAL07031076T) dan JT Cordyceps Mycelium (MAL09080820T) yang telah dikesan mengandungi bahan campur palsu. Produk Kapsul Benkwat Ginseng Plus 500 mg telah dikesan mengandungi yohimbine, manakala produk JT Cordyceps Mycelium dikesan mengandungi thiodimetylsildenafil.
Pendaftaran kedua-dua produk ini telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada mesyuaratnya yang ke-252 bertarikh 31 Mei 2012 berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalam produk tersebut yang tidak dibenarkan dalam ubat yang dikelaskan sebagai ubat tradisional.
Yohimbine adalah sejenis alkaloid biasanya diperolehi dari tumbuhan Puasinystalia yohimbe dan digunakan dalam rawatan disfungsi erektil. Yohimbine tidak dibenarkan dalam ubat yang dikelaskan sebagai ubat tradisional. Penggunaan yohimbine secara tidak terkawal boleh menyebabkan kesan advers serius seperti peningkatan tekanan darah dan kadar denyutan jantung, keresahan, insomnia, halusinasi dan mania. Dengan itu, adalah sangat bahaya sekiranya produk-produk ini diguna oleh orang awam yang mempunyai risiko tinggi terhadap kesan advers seperti ini terutamanya perempuan mengandung, pesakit darah tinggi, jantung, buah pinggang atau hati.
Thiodimethylsildenafil merupakan analog sildenafil dan tidak dibenarkan dalam produk ubat kategori tradisional. Analog ini memberi kesan yang serupa dengan sildenafil yang digunakan dalam rawatan disfungsi erektil. Penggunaan sildenafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan advers serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat yang merbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung. Dengan itu, adalah sangat bahaya sekiranya produk-produk ini diguna oleh orang awam yang berisiko tinggi terhadap kesan advers tersebut, terutamanya pesakit angina yang mengambil ubat nitrate.
Pengguna dinasihatkan untuk berhenti menggunakan kedua-dua produk ini dengan serta-merta dan mendapatkan nasihat dari profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers. Orang ramai boleh menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di talian 03-78835546/8545 atau email kepadabpfk@bpfk.gov.my untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut.
Sesiapa yang mempunyai stok produk-produk ini dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan pemilikan untuk jualan produk-produk ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
No comments:
Post a Comment