Sunday, July 5, 2015

PENJENAMAAN SEMULA PROFESION KE JURUTEKNOLOGI FARMASI

Salam sejahtera, Salam 1 Malaysia dan Salam Mesra kepada semua PPF Malaysia,

Pada tanggal 6 Mei 2015, semasa bengkel Pemurnian Senarai Tugas Pen.Pegawai Farmasi di BPF KKM Petaling Jaya,  Lembaga Farmasi Malaysia telah meminta kepada para ahli mesyuarat yang hadir (Gabungan Kesatuan dan Persatuan serta Think Thank kalangan PPF) mencadangkan Penjenamaan semula Gelaran Jawatan Penolong Pegawai Farmasi kepada satu nama baru yang sesuai dan boleh di guna pakai kepada semua sektor awam dalam KKM, Badan Berkanun, Swasta dan Industri.

Justeru itu Ketua Profesion telah meminta ahli-ahli Mesyuarat yang hadir memikirkan nama yang sesuai untuk di guna pakai. Beberapa Kumpulan telah di pecahkan dalam bengkel tersebut dan saya berada dalam Kumpulan yang menyediakan maklumat untuk penjenamaan semula. Kebetulan saya telah pun mempunyai maklumat yang di kumpul sejak 15 tahun dulu berkaitan Gelaran Jawatan PPF di serata dunia.

Penjenamaan semula Gelaran Jawatan adalah sesuatu yang di nanti-nantikan sejak sekian lama. Pada tahun 2006, saya dan Puan Faridah Saidi pernah menghadiri satu perjumpaan bersama Kesatuan dan Persatuan di Hotel IOI Marriot Putra Jaya semasa Kesatuan mengadakan mesyuarat Exco di sana di bawah pimpinan Arwah Hj.Sairin dan En.Rohin Daud. Saya bersama Puan Faridah Saidi (Timb.Ketua Profesion sekarang) telah mengambil inisiatif mengatur perjumpaan ini dan mengambil kesempatan menerangkan betapa pentingnya Gelaran Jawatan Juruteknologi Farmasi dalam fasa nama baru Penolong Pegawai Farmasi diproses untuk diluluskan ketika itu.

Cadangan yang kami beri tidak diambil kira walaupun telah beri penjelasan ia akan memberi kesan terhadap masa depan, Pendidikan dan Hala Tuju Profesion.

Sekarang perkara yang sama berulang lagi dan kita telah diberi peluang kedua untuk memastikan Profesion ini berada dalam landasan yang betul, Hala Tuju yang jelas, Senarai Tugas yang seiring dengan Gelaran, peluang pendidikan sehingga Ijazah dan kenaikkan pangkat dalam Jawatan yang sama serta Expanded dan Extended Role yang sesuai.

Rakan-rakan PPF yang dikasihi, amatlah penting kita mengambil sikap positif dan berupaya melihat jauh kehadapan perkembangan Profesion yang kita kasihi. Lihatlah semua Paramedik lain yang telah maju kehadapan jauh daripada kita. Jururawat, Pen.Pegawai Perubatan, JuruXray, Jurupulih Anggota / Cara Kerja, Pen.Pegawai Persekitaran, Juruteknik Pergigian dan Jururawat Pergigian semua telahpun menyediakan Silibus untuk Ijazah kecuali Pen.Pegawai Farmasi sahaja yang ketinggalan. Saya telah berjumpa beberapa Pegawai di Bhg Latihan termasuk Tuan Hj.Moideen Hasan yang menerangkan kita di dalam era yang sangat kritikal jika tidak mengambil sebarang inisiatif untuk menaikkan taraf atau memulihkan kelemahan sedia ada.

Menurut Pegawai Kanan Bhg Pengurusan Latihan KKM, di masa hadapan tidak ada lagi program bertaraf Diploma dan Pos Basik. Kesemuanya akan di ubah kepada Ijazah dan Advance Diploma (1 tahun menggantikan Pos Basik). Kemana kita akan pergi jika tidak ada peningkatan atau usaha. Kita akan ketinggalan dan JPA juga di fahamkan tidak akan lagi mengambil jawatan bertaraf Penolong dalam paramedik di masa hadapan. Ini disebabkan semua paramedik akan naik taraf ke Kumpulan  Profesional dengan Ijazah sama seperti di UK. PPF nak letak di mana? Apa hala tuju nanti ?

Bagi menangani masalah ini adalah amat penting barisan Exco Kesatuan Semenanjung, Sabah, Sarawak, Persatuan PPF Malaysia dan Persatuan PPF Sabah duduk semeja berunding dan mengadakan satu bengkel khas untuk menyediakan plan perancangan pembangunan profesion untuk jangka masa 10-30 tahun akan datang. Perkara ini tidak boleh dipandang ringan. Profesion ini dan Para Junior akan menerima kesan amat buruk sekiranya tidak dibendung lebih awal.

Untuk itu, pemilihan Gelaran Jawatan haruslah bermula dulu di ikuti dengan Hala Tuju, Senarai tugas, Expanded Role dan Extended Role (mengambil alih tugas di Stor Utama Unit Drug dll) ,         R & D, penglibatan Kualiti menyeluruh, penyeliaan oleh semua Gred Kanan secara total, Uniform yang sesuai, dll. Usaha ini harus dilakukan dengan serius dan perlu sokongan dari BPF KKM.

Ketua Profesion kita telah menjalankan usaha gigih dan dengan komitmen tinggi oleh beliau, saya percaya Profesion kita akan mampu maju lagi kehadapan dengan sokongan padu dari semua PPF Malaysia dan Organisasi dalam Kesatuan dan Persatuan. Ayuh kita bangun dan berusaha membentuk satu pasukan yang jitu demi Pembangunan Profesion yang di sayangi.

KEARAH TRANSFORMASI JURUTEKNOLOGI FARMASI YANG CEMERLANG !


3 comments:

Unknown said...

Sangat bersetuju. Diharap ramai yg akan sama2 memikirkannya.

sivagurl said...

Saya amat kagum dengan perkembangan yang dinyatakan. Apakah yang harus kami lakukan bagi merealisasikan matlamat ini.

Management Group said...

Terima kasih atas komen. Kita harus tunggu kelulusan Akta farmasi baru yang mana gelaran baru Juruteknologi Farmasi telah di masukkan ke dalamnya.
Harapan kita akan ada perkembangan baru kelak.